Khamis, 27 Mei 2010

Muhasabah Diri

Kita semua pernah menghadapi saat-saat kesukaran dan kepayahan. Saat dimana kita merasakan satu kegelapan dan kelemasan. Terasa seperti dalam keadaan keseorangan. Seperti tidak ada jalan penyelesaian. Tetapi dalam kita tidak sedar, ketika itulah Allah paling hampir dengan kita. Allah, Ar-Rahman Ar-Rahim. Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ketika itulah kita akan merintih kepada Dia. "Ya Allah". Sepanjang pengalaman hidup aku. Tidak pernah sekali ketika aku dalam kegelisahan dan kesusahan, aku berdoa dan doaku tidak diterima. Tidak pernah walaupun sekali dan aku yakin anda semua pun begitu. Kadangkala dengan hanya merintih "Ya Allah", sudah cukup untuk Allah memberikan pertolongan kepada kita. Itulah dia kasihnya Allah kepada hambanNya. Allah ada berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 28, Maksudnya:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (286)

Dibahagian pertama ayat ini, Allah menyatakan bahawa Dia tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Yakinlah bahawa setiap dugaan yang kita hadapi, kita pasti akan mampu untuk menghadapinya kerana ini janji Allah kepada kita hamba-hambaNya. Berdoalah kepadaNya. Kepada Dia lah kita meminta pertolongan kerana hanya Allah S.W.T yang mampu menjanjikan pertolongan. Setiap kali kita merasakan bahawa kita tidak ada tempat bergantung, ingatlah Allah sentiasa ada bersama kita. Dekat dengan kita lebih dari kita mengetahuinya. Mintalah kepadaNya, rintihlah kepadaNya dan berdoalah kepadaNya. InsyaAllah pertolongan dariNya akan datang jua.

Tiada ulasan: