Selasa, 12 Januari 2010

Kata Nama Khusus Allah Yang Di’am’kan

Takkan kita nak lihat saja?

“Sesungguhnya keberuntungan bagi orang yang menjauhi fitnah” – Rasulullah menyebutnya tiga kali [Hadis Riwayat : Abu Daud]

Sesetengah orang mengatakan isu kalimah Allah ini perlu dibantah kerana isu ini adalah isu akidah, bukan isu nama. Sebahagian yang lain membantah mengatakan ia tidak perlu difikirkan, kerana banyak isu lain yang lebih besar sepatutnya dipandang lagi..

Persoalannya di sini, ‘umat’ katolik meminta dengan hormat, persetujuan mahkamah untuk mendapatkan nama Allah. Ini bukan main letak nama Allah menggantikan nama ‘god’ di makalah mereka. Yang terjadinya ia diluluskan, bukan dielakkan. Jadi, itu bukan isu yang biasa-biasa!

Cuba anda bayangkan anda makan di satu gerai mamak, ada di situ menggunakan ayat Al-Quran, tetapi setelah diselidik, rupa-rupanya pemilik gerai itu bukan Islam. Adakah itu isu biasa?

Sudah tentu anda akan menyebutnya isu sensitiviti. Ini apatah lagi jika pemilik gerai itu berhujah, ayat Quran yang diletak itu telah ‘diluluskan’ oleh masyarakat.

Benar ada persamaan menggunakan nama Allah itu dari situasi masyarakat kafir Quraisy dahulu. Nabi tidak membantah masyarakat menggunakan mereka menggunakan nama Allah atas sebab potensi mereka untuk menerima Islam. Ketika itu isu Islam adalah dalam proses perkembangan dakwah.

Tetapi, bagaimana pula hari ini, kristianisasi dalam perkembangan ‘dakwah’ mereka? Tambah lagi dengan situasi masyarakat melayu hari ini yang dalam keadaan lemah ilmu tauhid? Bukan setakat itu, menjadi-jadi lagi dengan keadaan murtad ke kristian yang bertambah-tambah. Bagaimana jika hal ini menjadikan mereka beralasan nama ‘Allah’?

Sehingga hari ini kita berjaya pertahankan Islam di muka bumi Malaysia beratus tahun lamanya. Lihatlah ketika mulanya Melaka dibangunkan, datangnya pedagang Arab menyebabkan dakwah Islam sampai di Malaysia. Raja tertarik, masyarakat juga tertarik. Lantas kita dianugerahi nikmat Islam kerana itu. Setelah penaklukan oleh Portugis, Belanda dan Inggeris, walau sekuatmana mereka menyebarkan dakyah kristianisasi, Sultan dan rakyat tetap bertahan dengan Islam.

Adakah 2010 ini satu sejarah baru kita mengizinkan dengan mudah ‘masyarakat’ kristian menyebarkan agama mereka dengan cara baru?

Bayangkan jika satu hari anak-anak membaca buku cerita, buku kanak-kanak, tetapi buku itu diselitkan cerita-cerita berunsur triniti bersulamkan nama Allah? Bagaimana dengan perkembangan mereka yang diajar tentang ilmu tauhid siapa Allah, tetapi di buku lain menceritakan Allah yang ‘lain’?

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran? [Surah At-Taubah : 30]

Pemahaman kalimat Allah di sisi Yahudi adalah berlainan, begitu juga Nasrani. Ia tidak sama dengan pemahaman umat Islam. Sekali lagi, adakah hal ini boleh dipandang enteng?

Maka di sini menjadi satu yang pelik, bagaimanakah sehingga pihak kristian katolik yang meminta izin untuk mendapatkan nama Allah itu, kita gagal pertahankan, sedangkan isu itu sekadar keizinan. Jika mereka menggunakan kalimah Allah tanpa izin, itu lain cerita.

Bermakna di sini, ada cerita lain di sebalik keizinan itu.

KATA NAMA KHAS ALLAH YANG DI’AM’KAN

Sekarang kita menggunakan nama khusus Allah sebagai tuhan yang satu, tuhan umat Islam. Tetapi dalam masa yang sama kristian menggunakan nama Allah hanya menggantikan nama tuhan, dalam ertikata lain, Allah akan hanya menjadi nama tuhan.

Mampukah kita menerima di kamus-kamus kelak menyatakan Allah itu sekadar ‘tuhan’?

Kelak, difahami ‘lailaha illallah’, “tiada tuhan selain tuhan”?

Kenapa tidak mereka kristian menggunakan nama tuhan lain, seperti dewata, theos, deus dan sebagainya menggantikan ‘god’ mereka? Mereka memilih pula nama Allah.

Sekali lagi, bukankah ada cerita tersembunyi di sebalik pemilihan nama Allah itu?

Kelak anda akan melihat sebahagian masyarakat Malaysia (kristian) yang mengakui ‘Allah’ itu beranak. Mereka boleh biasa menyebut insyaAllah, alhamdulillah, masyaAllah, kerana mereka dilindungi akta. Adakah kita hanya menerima ini sebagai fakta?

Bermakna di sini kita tidak boleh duduk diam jika nama Allah digunakan oleh orang kristian di Malaysia. Berdoalah agar kebenaran menggunakan nama Allah dibatalkan untuk orang kristian.

Ingatlah pada nama Allah yang khusus itu adalah satu harga yang sangat tinggi bagi mukmin. Ia tidak sama dengan nama Allah-tuhan yang ada pada agama yang lain.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah” [Surah Anfal : 2]

Tiada ulasan: